Google Memperingati Ulang Tahun Kelahiran P.Ramlee

Sempena ulang tahun kelahiran Allahyarham Tan Sri P.Ramlee pada Rabu, Google memberikan penghormatan menerusi Doodle atau lakaran seniman agung itu pada enjin carian internet berkenaan.

Pengguna yang melayari laman web itu dapat melihat lakaran lagenda seni tanah air dalam imej yang paling diingati iaitu bermisai nipis, tampil segak dengan sut petak, dan kepalanya sedikit sengit ke tepi.

Selain itu, ia turut memaparkan seniman berkenaan duduk di kerusi pengarah sambil memegang sehelai kertas di tangan kirinya, alat pembesar suara di tangan kanan dan sebuah gitar yang diletakkan di belakang kerusinya.

“Google Doodle hari ini menonjolkan kepelbagaian seni legenda Malaysia tersebut yang melangkaui dunia hiburan dan memenangi hati rakyat,” menurut kenyataan laman web itu, Rabu.

P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih merupakan seorang pelakon, pengarah, penulis, dan komposer prolifik yang telah menyumbang lebih daripada 60 karya filem dan menggubah sekitar 250 lagu.

Selepas pemergiannya, rakyat Malaysia meneruskan legasi beliau dengan memberi penghormatan dalam bentuk anugerah anumerta seperti menamakan dewan, muzium dan bangunan sempena nama beliau.

P. Ramlee lahir pada 22 Mac 1929 dan meninggal dunia pada 29 Mei 1973.

Tarikh 29 Mei turut diisytiharkan sebagai Hari Seniman Kebangsaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge